Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

ICT Membantu Pembangunan Inovasi Pelajar

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh membantu dalam melonjakkan perkembangan inovasi dan kreativiti dalam kalangan guru dan pelajar.

Untuk mencapai matlamat itu, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menyediakan satu portal khas MyIdeas@Schools sebagai platform kepada pelajar mengembangkan idea-idea biasa menjadi luar biasa.

Setiap pelajar bebas mencetuskan idea masing-masing untuk dikongsi bersama rakan secara atas talian. Mereka kemudian saling memberi maklum balas, komen dan cadangan yang membina.

Bermula dari situ mungkin akan terhasil teknologi baru yang boleh menambah baik kualiti benda sedia ada atau memberi penyelesaian kepada sesuatu masalah.

Asasnya, pelajar dilatih dari peringkat awal untuk memberi pendapat dan tidak takut atau malu untuk melontarkan idea melalui ICT.

Mereka juga diberi kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan konstruktif di dalam persekitaran yang interaktif supaya dapat membina keyakinan diri.

Program itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Kebangsaan (SK) Lenga, Pagoh, Johor baru-baru ini.

Objektif program MyIdeas@Schools ini lebih mudah direalisasikan kerana infrastruktur ICT dan aplikasi yang lengkap di sekolah.

Tambahan pula, melalui program sekolah bestari atau pembestarian sekolah, warga pendidik termasuk pelajar bukan sahaja celik tetapi sudah pintar ICT.

Semua itu hasil daripada usaha selama lebih sedekad menerap unsur-unsur kreatif dan inovasi melalui intervensi ICT dalam persekitaran sekolah. Kini sekolah lebih berinovasi dan berdaya maju bagi membina kesejahteraan di samping menggilap potensi guru serta pelajar.

SUMBER: PORTAL PENDIDIKAN UTUSAN 2001-2009

No comments:

Post a Comment