Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

TM tingkatkan kemahiran ICT sekolah



KUMPULAN pelajar dari SK Padang Sebang yang menyertai program DST dari Melaka bersama-sama Adanan Ishak, Pengarah, Kejuruteraan Perkhidmatan, GITN Sdn Bhd (baris belakang, tiga dari kanan), Muhamad Ismail Mujamal, Penyelaras GTL sekolah berkenaan (baris belakang, dua dari kiri) serta pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) menganjurkan program pendidikan berasaskan multimedia yang dikenali sebagai Digital Story Telling (DST) dalam usahanya memupuk kesedaran tentang manfaat aplikasi-aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan pelajar sekolah.

Dengan sasaran untuk menggalakkan penggunaan aplikasi ICT dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran (P&P), program DST ini disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah serta guru-guru.

Untuk fasa pertama, program itu telah dianjurkan di 11 buah sekolah di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor membabitkan seramai 160 peserta.

Naib Presiden Eksekutif Sektor Kerajaan TM, Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam berkata, mereka tertarik dengan karya hasil murid-murid tersebut memandangkan mereka masih lagi di peringkat sekolah rendah.

``Program ini telah membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid berkenaan dan secara amnya meningkatkan kesedaran ICT mereka.

``Kami amat berharap pengetahuan yang dimiliki akan terus dimanfaatkan dalam pembelajaran mereka dan seterusnya membantu memperbaiki prestasi akademik murid-murid tersebut,'' katanya.

Beliau berharap agar program tersebut turut memberi manfaat kepada guru kerana mengguna pakai pengetahuan ICT yang diperolehi semasa sesi pengajaran dan seterusnya menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik di sekolah.

sumber: portal pendidikan utusan2001-2010

No comments:

Post a Comment